TELEDIRECT Telecommmerce Sdn Bhd ( Teledirect) mahu menumpukan kepada segmen telekomunikasi dan teknologi maklumat (IT) Asia sebagai sumber pendapatan alternatif syarikat tahun depan.
Ketua Eksekutifnya, Laurent Junique ( gambar ), berkata ketika ini kira-kira 70 peratus pendapatan Teledirect disumbangkan sektor kewangan dan insurans.
“Fokus syarikat ialah penyelesaian lebih khusus kepada kehendak pelanggan sektor IT dan telekomunikasi dam mensasarkan syarikat bersaiz kecil supaya boleh memberikan perkhidmatan menyeluruh,” katanya di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, syarikat mahu mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu pasaran selain mempelbagaikan perkhidmatan sedia ada dan mensasarkan pertumbuhan perniagaan 70 peratus tahun ini menerusi pusat perniagaannya di tujuh negara rantau ini.
Teledirect yang ditubuhkan di Singapura pada 1995, adalah ahli kumpulan WPP yang berpengkalan di United Kingdom terbabit dalam perkhidmatan pengiklanan dan pemasaran.
Ia juga menganggotai Persatuan Pusat Panggilan Malaysia (CCAM) dan Majlis Pusat Panggilan Singapura (CCCS) yang bersekutu dengan Persatuan Pengurusan Pusat Panggilan Australia.
Malaysia sebagai hub serantau perniagaan Teledirect dijangka menjadi penyumbang terbesar pendapatan syarikat.
Kuala Lumpur adalah pangkalan operasi paling fleksibel dan menerusi lebih 360 stesen kerja, dapat memberikan perkhidmatan telepemasaran yang cekap kepada 20 negara.
“Malah, ia berpotensi menjadi pendahulu industri telepemasaran global kerana mempunyai penguasaan bahasa yang tinggi,” katanya.
Selain Malaysia, Teledirect mempunyai kira-kira 900 stesen kerja di pusat perhubunganya di Singapura, Taiwan, Thailand, Hong Kong, Filipina dan India selain dua syarikat bersekutu di di China serta Jepun.
Ia menawarkan penyelesaian bagi pelanggan meningkatkan penjualan, rangkaian pelanggan serta meningkatkan pencapaian pusat panggilan.
Junique berkata, syarikat meraih antara 30,000 sehingga 40,000 pelanggan baru sebulan dan melaksanakan 3,000 program telepemasaran.
Ketika awal perniagaan, ramai sukar menerima cara pemasaran menerusi telekomunikasi tetapi kini ia strategi paling berkesan untuk meraih jualan lebih cepat.
“Malah, telepemasaran kini menjadi pilihan syarikat meluaskan jualan ke luar negara,”katanya. |